Monday, February 28, 2011

UKIRAN LOGAM

Pengenalan
Di Semenanjung Malaysia, penggunaan bahan logam dalam keperluan hidup manusia telah bermula sejak zaman purba lagi. Kepandaian menggunakan bahan logam di zaman purba adalah sesuatu yang sangat menarik kerana logam adalah bahan yang tidak boleh dipecah-pecahkan untuk menghasilkan sesuatu alat seperti alat-alat yang diperbuat daripada batu. Penggunaan alat-alat daripada logam yang berukir berterusan hingga kini. Orang-orang melayu juga banyak menghasilkan beraneka jenis alat yang diperbuat daripada logam. Seni ukiran pada alat-alat logam yang dihasilkan oleh tukang-tukang Melayu dapat kita lihat pada senjata-senjata tradisional, peralatan rumah, perhiasan diri serta barangan-barangan lain.

Ukiran Tembaga

Logam tembaga ditemui manusia kira-kira 8000 tahun sebelum Masehi. Sekitar 4500 kemudian, manusia menemui teknik untuk mencampurkan tembaga dengan timah. Campuran atau aloi dua logam itu dikenali sebagai gangsa. Di Greece, Zaman Gangsa bermula sebelum 3000 SM dan di China, sekitar 1800 SM. Kemahiran kerja logam dipercayai diketahui di Asia Tenggara sejak lama sebelum era Masihi lagi. Ekskavasi arkeologi di Phumi Mlu Prey, Kemboja telah menemui kesan-kesan kerja pengacuan gangsa dan besi yang diusahakan sebelum abad pertama Masihi. Artifak gangsa juga telah diperolehi daripada ekskavasi yang dijalankan di tapak tamadun Dong Son, Vietnam yang wujud antara abad kelima dan abad pertama SM. Di Malaysia, artifak gangsa yang tertua ialah genta (loceng) yang ditemui di daerah Klang yang banyak mempunyai persamaan ciri dengan genta gangsa Dong Son. Artifak tembaga yang tertua pula ialah gong yang ditemui di Terengganu. Perusahaan tembaga di negara ini kebanyakannya berpusat di pantai timur Semenanjung iaitu di Kelantan dan Terengganu. Tukang-tukang tembaga yang mahir dikenali sebagai 'pandai tembaga’.




Proses Pembuatan

Di samping warnanya yang lebih menarik, tembaga cair pada suhu yang lebih rendah berbanding besi, iaitu kira-kira 1000 darjah celcius. Ini menjadikan tembaga lebih mudah dibentuk. Kraftangan tembaga di Malaysia dihasilkan melalui dua kaedah utama iaitu acuan penghapusan lilin dan goresan timbul.

Acuan Penghapusan Lilin- teknik ini boleh dibahagikan kepada empat langkah:
Pembentukan – proses membentuk kayu untuk dijadikan asas acuan dan merangka bentuk dan corak barang yang akan dihasilkan.

Membuat Acuan – proses membuat kelonsong atau teras bentuk barang yang diingini. Acuan dicelup ke dalam lilin berulang kali mengikut ketebalan yang dikehendaki. Kemudian lilin dilarik supaya seimbang dan sama rata, sesuai dengan bentuk luar barang itu. Lilin yang telah siap dilarik, ditampalkan dengan tiga lapisan tanah liat halus.

Lebur / Menuang – proses mencairkan campuran logam dan memasukkannya ke dalam acuan. Tembaga dileburkan di dalam bekas khusus menggunakan api dapur yang dipanggil relau. Api relau juga digunakan untuk mencairkan lilin di dalam tanah liat halus. Lilin cair itu dituang keluar meninggalkan rongga yang membentuk acuan. Dalam satu variasi teknik ini, lilin acuan dibalut dengan campuran tanah liat, pasir dan sekam padi. Apabila acuan dibakar, lilin mencair dan menyerap ke dalam campuran pembalut itu. Cairan tembaga lebur dituangkan ke dalam acuan itu dan ditinggalkan hingga sejuk dan membeku. Kemudian, tanah liat yang dijadikan acuan itu dipecahkan untuk mendapatkan barangan tembaga yang masih kasar permukaanya.

Mencuci / menggilap – proses ini melibatkan kerja-kerja pengemasan yang merangkumi memcuci, memateri, mengikis dan menggilap. Tompok-tompok hitam dan logam yang berlebihan pada barang yang dikeluarkan dari acuan, dikikis hingga bersih. Ciri-ciri yang tidak dapat dibentuk di dalam acuan, dipaterikan. Kemudian barang itu digosok dengan kertas pasir dan digilap dengan sejenis kimia yang diberikan kemasan halus dan berseri.

Kemasan

Semua barang yang telah siap digilap diperiksa untuk memastikan tiada kecacatan. Jika terdapat lubang halus, misalnya, lubang itu ditampal dengan timah hitam. Biasanya bahan-bahan tembaga dihiasi dengan biku-biku di kelilingnya. Motif yang popular banyak yang berbentuk geometri, awan larat dan bunga-bungaan. Untuk rekacorak yang lebih halus dan rumit, kaedah goresan timbul atau etching digunakan. Mula-mula rekacorak itu dilukis dan diambil gambarnya. Kemudian negatif gambar itu disalutkan selapis kimia khusus dan diturunkan ke atas permukaan tembaga.
Goresan/ukiran timbul Satu lagi teknik kerja kraftangan tembaga ialah teknik ukiran timbul atau tooling. Dalam teknik ini, kepingan tembaga ditekan supaya alat runcing yang tumpul supaya permukaannya timbul, membentuk gambaran yang dikhendaki. Ruang yang tenggelam itu kemudian diisikan dengan sejenis gala yang mengeras dan memastikan gambaran yang terhasil tidak kemek.

Alat dan Proses

Kelengkapan utama yang diperlukan untuk kerja mengukir tembaga ialah penukul kayu, gunting, set alat pengukir, penggilap dan cat gelap. Proses mengukir melibatkan langkah berikut:
 Reka corak yang ingin dihasilkan dilukis selengkapnya di atas kertas. Kemudian reka corak itu dipindahkan ke kepingan tembaga sama ada dengan menekapnya atau dengan membuat lukisan bernisbah, mengikut saiz yang diperlukan.
 Kepingan tembaga yang tertera dengan reka corak, diletakkan di atas sehelai kain selimut atau beberapa helai kertas yang dibentangkan di atas permukaan rata. Alas kain atau kertas ini membolehkan permukaan tembaga yang ditekan atau diketuk tenggelam tetapi tidak mencalarkan permukaan di sebaliknya.
 Dengan gaya memahat, penukul dengan cermat diketukkan ke kepala alat ukir hingga permukaan keeping tembaga perlahan-lahan lekuk. Kemudian bahagian yang lekuk itu diisikan dengan bahan lepa. Sekarang, biasanya simen digunakan sebagai bahan lepa, tetapi dahulu gala dempul lebih kerap digunakan. Dempul ialah campuran kapur dan minyak jarak.
 Apabila lepa kering, cat gelap disapukan pada seluruh permukaan reka corak. Kemudian, setelah cat kering, reka corak itu digilap. Dalam proses ini, bahan penggilap disapukan pada bahagian-bahagian tertentu untuk menanggalkan cat dan menyerlahkan warna dan cahaya tembaga. Apabila sudah siap, kepingan tembaga hasil kraftangan dibingkaikan.

Penggunaan

Biasanya hasil kraftangan ukiran tembaga ialah tulisan khat berupa ayat al-Quran yang dipamerkan di dinding-dinding dan ambang pintu masjid dan rumah. Selain itu, ukiran tembaga juga digunakan sebagai mural atau lukisan dinding untuk menghias pejabat, atau sebagai plak untuk memperingati sesuatu acara.

Ukiran Perak

Seni pertukangan perak merupakan salah satu daripada cabang kesenian orang Melayu yang amat terkenal di Negeri Kelantan. Kesenian perak ini dikatakan adalah agak baru jika dibandingkan dengan kesenian-kesenian ukiran yang lain. Kemahiran bertukang orang Melayu dipercayai memang sudah ada sejak zaman berzaman lagi, iaitu hasil pengaruh tamadun 'Hindu' yang memang terkenal dengan pertukangan barangan logam seperti tembaga dan emas. Dengan ini, perusahaan barang-barang perak ada kaitan rapat dengan bidang perusahaan emas dan tembaga kerana terdapat persamaan dari segi pembuatannya. Dari segi sejarah umumnya, didapati manusia mula menggunakan wang perak pada zaman 800 SM dan sejarah ukiran perak di Kepulauan Melayu pula muncul sejak dari zaman Sri Vijaya lagi dan terus berkembang hingga ke daerah-daerah lain di nusantara. Ukiran perak seterusnya telah berkembang ke tahap industri kampong atau cottage industry apabila Inggeris datang ke Tanah Melayu pada abad ke-18 dan memajukan perusahaan ini.

Reka corak dan Motif

Masyarakat yang mengenali seni pertukangan perak akan mengakui bahawa seni ukiran perak mempunyai keindahannya yang tersendiri. Keindahan yang dimaksudkan bukan pada seni rupa atau rekabentuk sesuatu ciptaan itu sahaja, malahan juga pada pengolahan satu-satu motif dalam rekacorak awan larat dan falsafah yang terselindung di sebaliknya mengikut daya imaginasi jiwa pencipta awan larat. Rekacorak dalam pertukangan perak merupakan ciri terpenting yang dikira dapat membezakan di antara rekacorak Melayu tradisi dengan rekacorak masyarakat lain di samping dapat menghuraikan segala aspek yang tertentu terhadap sejarah dan perkembangannya.

Motif dalam seni ukiran perak terbahagi kepada tiga iaitu motif bunga-bungaan, motif tumbuh-tumbuhan dan binatang.
Motif Bunga-bungaan Jenis-jenis bunga yang selalu dijadikan motif dalam rekacorak pertukangan perak ialah:
 Bunga Mentari
 Bunga Padi
 Bunga Kiambang
 Bunga Senduduk
 Bungan Teratai
 Bunga Dahlia
 Bunga Langsat
 Bunga Mawar
 Bunga Orkid
 Bunga Kelambu
 Bunga Manggis
 Bunga Melur

Motif Flora
Tukang-tukang perak Melayu menggunakan alam tumbuhan yang dilihat dalam alam sekelilingnya sebagai sebagai asas untuk menghasilkan satu rekacorak. Tumbuhan-tumbuhan yang biasa digunakan adalah dari kumpulan yang hidup menjalar dan boleh dijadikan sayur atau ulam seperti;
 Daun Sembung Bidadari Pucuk Kangkung Daun Dalur Pucuk Paku Daun Sekati Lima Sulur Kacang Botol Daun Labu Sulur Kacang Panjang Daun Kundur Buah Cili Pucuk Petola

Motif Fauna

Kadang-kadang terdapat juga motif-motif rekacorak yang menggunakan bentuk-bentuk haiwan. Bagaimanapun motif-motif seperti ini tidaklah digambarkan dalam bentuk yang nyata. Kebanyakan bentuk binatang yang digunakan dalam rekacorak ukiran perak masyarakat Melayu ialah binatang ternakan seperti ayam dan burung. Disamping motif binatang terdapat juga motif serangga dalam rekacorak pertukangan perak ini.

Motif-motif binatang yang biasa digunakan ialah ;
Gajah Burung Kuda Jari Lipan Ikan Belanak Rama-rama Patung-patung Kumbang Lalat/lebah

Proses Pembuatan

Proses membuat barang perak berbeza-beza, bergantung samada barang yang hendak dihasilkan itu kasar (besar) atau perhiasan halus. Barang kasar merangkumi kendi, tepak sirih, kaki lilin dan kotak borang kemas, cucuk sanggul, kerongsang, pin baju dan sebagainya. Manakala barang perhiasan termasuk cincin, gelang, rantai dan sumpamanya.

Prosesnya adalah seperti berikut;

 Proses melebur adalah peringkat awal dalam kerja pertukangan perak. Perak mentah, berbentuk butir atau biji akan dipanaskan hingga cair atau di dalam acuan khas yang diperbuat besi penuang. Perak cair pada suhu 96 darjah celcius.
 Perak yang cair itu dituang ke dalam acuan besi menuang. Besi menuang mempunyai dua bentuk iaitu yang berbentuk leper bagaikan pinggan dan yang membentuk dawai kasar.
 Proses yang paling rumit dalam pertukangan perak ialah proses pembentukan barang yang ingin dihasilkan, daripada kepingan, atau dawai atau gabungan kedua-duanya. Bentuk barang itu hendaklah seimbang dan rata atau melengkung dengan tekal. Jika barang peranggu (set) yang dihasilkan, barang-barang yang sepatutnya sama besar mestilah sama besar.

Untuk barang kasar

 Pertama, tukang perak membuat pasolan iaitu rangka barang itu dengan ukuran seperti yang dikehendaki. Pasolan dibuat daripada zink nipis atau kertas tebal.
 Kemudian, perak leper daripada acuan diketuk di atas andas kayu yang rata, berlubang atau berbonggol. Seringkali dua atau tiga kayu andas diperlukan untuk mendapatkan sesuatu bentuk yang direka. Barang kasar jarang yang dapat dibentuk daripada cuma sekeping perak, biasanya beberapa bahagian diperlukan. Bahagian-bahagian itu dibentuk secara berasingan dan kemudian dicantum dengan pateri.
 Sebelum dipateri, bahagian-bahagian itu dibersihkan daripada kotoran, terutama minyak yang boleh menjejaskan cantuman. Untuk barang perhiasan halus, tukang lebih sebabg bekerja dengan perak dawai. Penggunaan dawai juga mengurangkan kemungkinan pembaziran kerana perak logam yang mahal.

 Barang kasar yang telah siap dibentuk, dikemaskan dengan corak hiasan dengan menggunakan 'teknik pahat' atau 'teknik tebuk' (gergaji). Kemudian barang itu dicuci dengan besi penggosok, dikikir dengan kikir halus dan dipelas dengan kertas pasir.

 Proses yang terakhir ialah proses menggilap. Barang-barang perak digilap dengan menggunakan air sabun dan berus dawai tembaga halus untuk menghapuskan kekotoran yang berminyak dan seterusnya menyerikan barang itu. Banyak barang kraftangan perak dihasilkan atas tempahan khusus.

Penggunaan

Jika dahulu, golongan bangsawan dan pembesar negeri yang banyak membuat tempahan, sekarang tempat mereka telah diambil alih oleh usahawan di sektor pelancongan, terutama pengusaha perhotelan. Dengan perubahan gaya hidup masyarakat, selera pengguna juga berubah. Kini kraftangan perak telah dipelbagaikan kegunaannya. Banyak yang dijadikan cenderamata tetapi tidak kurang juga yang mempunyai kegunaan walaupun berbentuk perhiasan. Contohnya, penyangkut kelambu, cangkir, pinggan peranggu, kaki lilin, bekas abu rokok dan juga perhiasan diri seperti gelang dan rantai.